PUTRAJAYA – Dalam Belanjawan 2024, Kementerian Kewangan (MOF) akan memberikan lebih tumpuan kepada sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata, tumpuan berkenaan dilakukan adalah untuk memperkasa sektor itu supaya dapat bersaing dalam ekonomi baharu, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, langkah tersebut adalah bersandarkan pada kerangka MADANI dengan memberi fokus kepada nilai pembangunan serta pekerjaan dalam sektor PMKS.
“Hal ini adalah kerana PMKS merupakan antara pemacu utama ekonomi dengan kadar pertumbuhan dan peluang pekerjaan selain sektor tersebut paling terkesan terutama pada masa pandemik COVID-19.
“Oleh itu, kita perlu membina semula PMKS, keduanya kita juga nak membantu sektor tersebut meningkatkan rantaian nilai… menaikkan siling supaya PMKS kita boleh bersaing bukan sahaja di Malaysia tetapi global dalam ekonomi baharu, digital, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media tempatan ketika Majlis Tayangan Dokumentari dan Pengumuman Penerima Manfaat Program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia pada Rabu.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa proses merancang belanjawan 2024 menerima sambutan menggalakkan.
“Ia membabitkan sebanyak 8,000 maklum balas secara bersemuka dan 11,000 menerusi portal kementerian.
“Apa yang kita mahu adalah Belanjawan 2024 ini boleh mencerminkan aspirasi semua lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira kaum, agama, jantina dan negeri, di mana kita jelajah semua negeri untuk mendapat pandangan daripada semua pihak,” ujarnya.
Be First to Comment