Press "Enter" to skip to content

Anwar bakal rasmi PIPOC 2023 pada November depan

PUTRAJAYA – Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2023 akan menampilkan 100 penceramah dan pakar terkemuka dunia untuk berbicara mengenai trend serta cabaran yang dihadapi industri berkenaan. 

Kongres anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijangka berlangsung pada 7 hingga 9 November depan dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia merupakan pameran dan kongres minyak sawit terbesar dunia dan bakal diadakan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir, lebih 2,000 peserta global akan menghadiri acara bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’ (Mengemudi Ketidaktentuan, Membina Daya Tahan).

Jelas beliau, antara penceramah PIPOC 2023 yang dikenali adalah Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron dari DIBIZ Global, Malaysia akan membuat pembentangan mengenai teras tema tersebut.

“Barisan penceramah lain adalah Thomas Mielke dari Oil World, Jerman selain Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Parveez, PIPOC 2023 melibatkan empat persidangan serentak yang membincangkan topik penting seperti kemampanan, keselamatan makanan dan penambahan nilai.

“PIPOC menyediakan platform untuk interaksi, peluang rangkaian dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri sawit, daripada perkembangan dasar terkini kepada cabaran dan prospek industri itu.

“Bukan itu sahaja, PIPOC 2023 turut merangkumi aktiviti menarik termasuk lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, kilang penapisan dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan untuk peserta,” katanya. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *