PUTRAJAYA – Ketua Ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi menyarankan Malaysia mempunyai strategi hasil jangka sederhana dan panjang untuk memulihkan penampan fiskalnya.
Apurva berkata, berdasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK), hasil Malaysia semakin menurun dengan jumlah cukai jauh di bawah 12 peratus daripada KDNK.
“Penting untuk negara mempunyai strategi fiskal jangka panjang tentang keperluan perbelanjaan ekonomi Malaysia mengikut sektor. Buat masa ini, sepanjang pengetahuan kami, tiada sasaran pendapatan yang perlu dinaikkan.
“Bergantung kepada jurang hasil antara keadaan hasil semasa dan perkara yang perlu dinaikkan, maka anda boleh bercakap mengenai gabungan instrumen optimum (untuk meningkatkan hasil),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media tempatan sewaktu majlis pengumuman Kemas Kini Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2023 dan bahagian pertama Malaysia Economic Monitor (MEM) bagi bulan September 2023 pada Isnin.
Institusi perbankan dunia itu memberitahu, ekonomi Malaysia diunjurkan menyederhana kepada 3.9 peratus pada 2023 dengan beberapa cabaran utama berterusan di peringkat domestik.
“Perbelanjaan gaji, pencen, dan pembayaran faedah dijangka terus meningkat bahkan diburukkan lagi dengan pelbagai pengurusan perbelanjaan tidak cekap.
“Ia termasuk subsidi bahan api yang meluas dan kawalan harga yang bersifat berat sebelah,” katanya.
Dalam pada itu, Apurva memberitahu, mengurus perbelanjaan menjadi tugas penting dan isyarat kerajaan kepada rakyat bahawa ia sedang memulihkan ketirisan tabung kerajaan sebaik mungkin.
“Sebagai contoh, mempercepatkan akta perolehan kerajaan adalah bagus kerana banyak kecekapan berlaku melalui perolehan projek di Malaysia. Tetapi terdapat juga banyak cara yang anda boleh menguruskan kecekapan perbelanjaan juga,” ujarnya.
Be First to Comment