KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan membuat pengapungan harga ayam dan telur di pasaran antara lain bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak dan layak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar turut menambah, subsidi yang sama turut dinikmati oleh 3.5 juta warga asing dan 10 peratus golongan maha kaya dalam negara.
Beliau berkata ini memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.
“Melihat keadaan harga pasaran sekarang, bila harga itu kurang daripada harga siling seperti sekarang dan harga ayam dan telur di Thailand lebih rendah daripada Malaysia, maka tiba masanya untuk kita apungkan.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai 30 peratus stok ayam dan telur dan saya telah beritahu menteri untuk membeli dari Thailand andai kata ada keperluan untuk tampung kekurangan bekalan,” kata Anwar ketika sesi Waktu-waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada Selasa.
Be First to Comment