PUTRAJAYA – Penyasaran subsidi diesel adalah perlu untuk menyelamatkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan perlu diambil walaupun kerajaan sedar ia merupakan langkah yang tidak popular.
Semalam kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.
Beliau juga berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Be First to Comment