PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Kiosk Sentuhan MADANI yang sulung di pusat beli-belah Alamanda, inisiatif baharu kerajaan untuk memudahkan rakyat memperoleh pelbagai perkhidmatan rasmi.
Melalui enam kiosk digital yang ditempatkan di situ, orang ramai boleh mengakses lebih 90 perkhidmatan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan MyDigital ID.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kiosk Sentuhan MADANI ini merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2025 yang diilhamkan oleh Anwar untuk mengukuhkan mutu penyampaian perkhidmatan awam dan memenuhi keperluan rakyat. Penempatan kiosk digital di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah ini diharap dapat menawarkan waktu operasi yang lebih fleksibel.
Fahmi dalam pada itu menggesa syarikat-syarikat korporat agar memberi sokongan kepada usaha ini dengan menyediakan lokasi sesuai untuk penempatan kiosk tersebut.
“Kos pemasangan tidak begitu tinggi jika mendapat kerjasama pelbagai pihak. Kami yakin pusat membeli-belah dan lokasi tumpuan umum lain ialah tempat yang tepat untuk pemasangan kiosk,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kiosk Sentuhan MADANI kedua bakal ditempatkan di KL Sentral pada penghujung Februari ini.
Be First to Comment