Press "Enter" to skip to content

Rancang tambah kolej, program vokasional – KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang menambah kolej vokasional (KV) dan program yang ditawarkan dalam usaha memberi pendidikan voksional kepada lebih ramai pelajar berikutan kebolehpasaran graduannya yang mencecah hingga 99 peratus.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini terdapat 86 KV di seluruh negara dengan setiap tahun purata 10,000 graduan dihasilkan oleh kolej itu.

“Di KV ada 10 bidang dengan setiap satunya mempunyai 36 program dan setakat ini semua (program) itu memperoleh akreditasi sewajarnya melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran pelatih.

“Kira-kira 10,000 pelajar tamat belajar di KV setiap tahun dan sejak tujuh tahun lepas ada seramai 76,121 graduan, jadi bayangkan dengan lebih 99 peratus kebolehpasaran maknanya mereka memang tiada masalah untuk cari pekerjaan.

“Memang mereka mendapat permintaan yang tinggi dan kita bersama-sama pemain industri perlu sinergi untuk perkukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini yang kita mahukan dalam sistem pendidikan, bukan sahaja mereka menguasai kepakaran malah kebolehpasaran,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KV atau TVET bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya ribuan graduan yang dikeluarkan KV setiap tahun memberi impak besar kepada pembangunan dan ekonomi negara.

“Malah, mereka membawa nama negara ke arena antarabangsa apabila turut memasuki pasaran pekerjaan di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, beliau tidak akan berganjak dengan keputusan untuk tindakan saman sekiranya pembuat fitnah berhubung isu azan yang diputar belit tidak memohon maaf kepadanya.

“Ada yang telah minta maaf dan ada belum, jadi yang belum (minta maaf) itu kena ingat fitnah itu dosanya besar daripada membunuh dan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ini saya tidak kompromi soal fitnah kerana ini prinsip serta akhlak yang kita kena jaga.

“Mereka perlu tonton betul-betul video saya itu dan kalau mereka tak tonton jangan komen apa-apa yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

Pada Isnin lepas, Fadhlina menegaskan pihaknya telah membuat laporan polis berkenaan isu azan yang diputar belit oleh sesetengah pihak sehingga menjadi fitnah dan siasatan sedang dijalankan bagi mencari individu tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan bahan fitnah tersebut.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *