Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negara ini sebaliknya semua inisiatif dan dasar yang diperkenal adalah bersifat inklusif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menempelak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan bersikap berat sebelah, Anwar berkata, bantuan serta inisiatif Kerajaan Perpaduan akan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan bangsa.
Beliau berkata, meskipun wang kerajaan tidak banyak namun dengan tatakelola yang telus tanpa melibatkan kepentingan peribadi, ia dapat digunakan bagi membantu rakyat jelata khususnya golongan susah.
“Wang ada tetapi tidak banyak… tetapi sebab kita tak sakau dan tak gunakan untuk kepentingan peribadi…masih ada rahmat dan berkat Allah SWT untuk kita bantu rakyat.
“Saya tegaskan sama ada anda suka atau tidak, anda sokong atau sebaliknya (Kerajaan Perpaduan) kami tidak akan mengubah pendirian untuk membantu setiap rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Semenyih, Kajang pada Selasa.
Perdana Menteri berkata, antara inisiatif menyeluruh untuk semua kaum di negara ini ialah usaha kerajaan dalam menoktahkan masalah golongan miskin tegar sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Beliau berkata, bagaimanapun, ketika Kerajaan Perpaduan bersungguh-sungguh berusaha membantu rakyat terutama golongan miskin tegar, terdapat Ahli Parlimen pembangkang yang memperlekeh usaha itu.
“Ahli Parlimen PAS dakwa, mana ada kerajaan boleh selesaikan masalah kemiskinan… mereka lupa, kalau kita ambil contoh pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz dalam jangka masa dua tahun tiga bulan selesai miskin tegar.
“Saya amat keras dengan isu itu, sebab itu saya cakap tahun ini semua jentera kerajaan, menteri dan agensi mesti gerak kerja untuk henti dan noktahkan miskin tegar dalam negara ini,” katanya.
Anwar turut memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan memastikan bantuan kepada rakyat sentiasa bersifat inklusif dan tidak mengkhianati mana-mana kaum di negara ini.
Be First to Comment