Press "Enter" to skip to content

Skim Perubatan MADANI akan diperluas di lima negeri menjelang akhir bulan Ogos

PUTRAJAYA – Dalam memastikan lebih ramai orang awam menerima rawatan secara percuma di klinik perubatan swasta yang berdaftar, pelaksanaan Skim Perubatan MADANI akan diperluas di empat negeri menjelang akhir bulan Ogos. 

Antara kawasan yang terlibat ialah Kota Bharu, Pasir Mas di Kelantan; Kuantan (Pahang); Melaka Tengah (Melaka); Seremban (Negeri Sembilan); Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis pada minggu keempat bulan ini.

Maka jumlah keseluruhan kawasan yang terlibat dalam inisiatif rintis kerajaan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut) itu berjumlah 21 daerah. 

Tambah kenyataan itu lagi, Fasa 1 rintis Skim Perubatan MADANI telah dilaksanakan di 10 daerah iaitu Johor Bahru (Johor); Kuala Lumpur; Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak (Selangor); Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Seterusnya, Fasa 2 skim itu pula telah bermula di dua negeri iaitu Terengganu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu manakala di Kedah melibatkan Kota Setar dan Kuala Muda, pada minggu kedua bulan Ogos. 

Program fasa rintis ini dijalankan untuk tempoh enam bulan bermula 15 Jun lepas dan akan berakhir 31 Disember depan.

Tambah kenyataan yang sama, ProtectHealth berkata, kumpulan sasaran bagi skim tersebut adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2023 dalam tiga kategori kalangan B40 iaitu berkeluarga, warga emas (tanpa pasangan) dan bujang, dengan kelayakan adalah secara automatik tanpa perlu membuat apa-apa pendaftaran. 

“Manfaat skim ini adalah penerima yang layak boleh menerima rawatan penjagaan kesihatan primer akut secara percuma di klinik-klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Skim Perubatan MADANI dan tidak perlu membayar apa-apa kepada klinik,” menurut kenyataan itu.

Rawatan pesakit luar kes-kes akut merangkumi demam dan selesema, cirit birit dan muntah, terseliuh, sakit kepala serta trauma ringan seperti luka ringan.

Peruntukan manfaat rawatan skim bagi setiap isi rumah berkeluarga adalah sehingga RM250, warga emas (tanpa pasangan) (RM125) dan individu bujang (RM75).

Menurut ProtectHealth, manfaat skim tersebut adalah sekali sahaja sepanjang tempoh rintis (one-off) dan penerima manfaat hanya perlu membawa kad pengenalan ke klinik. 

“Penerima boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis digunakan.

“Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di klinik perubatan swasta kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan,” menurut kenyataan itu.

ProtectHealth berkata, sejak dilancarkan, lebih 30,000 isi rumah telah mendapatkan manfaat rawatan Skim Perubatan MADANI di klinik perubatan swasta yang berdaftar.

Penerima boleh menyemak kelayakan di laman sesawang https://protecthealth.com.my/skimperubatanmadani.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *