Press "Enter" to skip to content

KBS tingkat sasaran Program Sekolah Rukun Negara kepada 100,000 penyertaan

PUTRAJAYA – Sebagai usaha menyemarakkan kefahaman dan pengetahuan demokrasi terhadap golongan berkenaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meningkatkan sasaran penyertaan belia dalam Program Sekolah Rukun Negara kepada 100,000 peserta sehingga penghujung tahun ini. 

Menurut Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim, pada awalnya sasaran peringkat asas dibuat hanya 60,000 penyertaan tetapi ditingkatkan susulan angka berkenaan sudah hampir dicapai ekoran pendekatan secara bersemuka dan digital seperti platform media sosial TikTok, Youtube dan Facebook.

“Tahun ini sepatutnya kita letak sasaran 60,000 peserta tetapi memandangkan kita sudah pun mencapai peringkat asas iaitu lebih 30,000 penyertaan, jadi kita ‘step up’ sikit sepanjang tahun ini dengan pastikan mendapat 100,000 peserta. 

“Penyertaan tersebut juga akan diperluaskan di negeri-negeri lain seperti Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana  program itu telah berjaya menarik penyertaan belia khususnya dari negeri-negeri yang menghadapi pilihan raya negeri baru-baru ini,” katanya. 

Beritahu Adam Adli, program yang dilaksanakan oleh KBS menerusi Rakan Muda itu diadakan dengan tiga fasa iaitu kursus asas yang diadakan selama sehari, pertengahan (tiga hari dua malam) serta lanjutan (empat hari tiga malam), dengan kursus asasnya boleh diadakan di mana-mana lokasi termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi manakala kursus pertengahan dan lanjutan diadakan di 18 Kem Wawasan Negara di seluruh negara.

Menurut beliau, program tersebut boleh disertai semua belia secara sukarela, yang akan mendedahkan mereka dengan 12 perkara termasuk berkenaan pilihan raya, kerajaan, media dan Parlimen, sekali gus meningkatkan kefahaman dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan. 

Menerusi perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan cuba membantu dalam pelbagai aspek termasuk promosi memperkenalkan institusi berkaitan program latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada belia lepasan Tingkatan Tiga.

Tambah beliau, ibu bapa amat digalakkan dalam menjadikan pendidikan TVET sebagai pilihan kerana ia mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka bagi mendapat pekerjaan yang lebih baik. 

“Saban tahun, kita boleh lihat modul, silibus dan program yang tawarkan oleh institusi pendidikan TVET ini sentiasa ditingkatkan kerana ia berkait rapat dengan alam pekerjaan. 

“Malah program sekarang juga tidak terhad kepada kulinari atau mesin tetapi turut berkait dengan teknologi yang mengikut keperluan bukan sahaja industri tetapi perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *