PUTRAJAYA – Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan.
“Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.
“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif ‘single window’ untuk menyelaras, menyusun semula fungsi terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar serta membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025.
Beritahu Anwar, mesyuarat tersebut dianggotai barisan Menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri dari wakil sektor swasta, industri, akademia, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka.
Majlis itu juga berperanan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.
“IDN adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.
“IDN apabila siap kelak akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan,” ujarnya.
Anwar berkata lagi, projek itu akan memastikan transaksi dalam talian adalah dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat.
Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.
Menurutnya, pelaksanaan IDN itu merupakan antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Be First to Comment