Press "Enter" to skip to content

KKDW beri tumpuan tingkat prasarana, ekonomi luar bandar dan TVET – Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Prasarana dan ekonomi luar bandar serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dipertingkatkan menerusi Belanjawan 2024. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberi tumpuan kepada usaha berkenaan bersama pemain industri dan pihak berkepentingan KKDW. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara berikut antara yang ditekankan dalam sesi libat urus Belanjawan 2024. 

“Saya dan pasukan KKDW akan berusaha memastikan segala input dan cadangan sesi berkenaan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan serta dijadikan input kepada Belanjawan 2024. 

“Saya memberikan tumpuan dalam mempertingkatkan prasarana luar bandar antaranya dengan menaiktaraf kehidupan penduduk Sabah, Sarawak dan Orang Asli melalui pembinaan dan baik pulih ameniti sosial, menambah cakupan telekomunikasi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Digital dan membina rumah rakyat termiskin,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau sempena sesi libat urus itu. 

Jelas Ahmad Zahid, KKDW juga memberi fokus memperkasa ekonomi luar bandar melalui pelancongan desa dan ‘mix farming’.

Katanya, beliau mahu melihat KKDW memainkan peranan secara efektif membimbing usahawan luar bandar supaya produk mereka dapat dinaiktaraf dan kemudiannya dipasarkan ke peringkat antarabangsa. 

“Jumlah pasaran yang besar ini membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk menengahkan produk mereka setara dengan produk antarabangsa dengan syarat usahawan luar bandar mesti berani bersaing dan punyai semangat kompetitif dalam memasarkan produk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bidang TVET amat penting dalam melahirkan pekerja berkemahiran tinggi sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *