Press "Enter" to skip to content

RM1.5 billion diluluskan untuk program jana pendapatan golongan sasar – Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan telah meluluskan RM1.5 bilion untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar dalam menjamin kesejahteraan rakyat. 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah berkenaan diluluskan adalah untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga tanpa mengira etnik, mahupun keberadaan mereka di bandar, desa dan pedalaman.

“Langkah segera akan diambil untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.

“Sehingga 15 Ogos 2023, kerajaan masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan,” katanya. 

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin. 

Pada masa sama, Anwar memaklumkan kerajaan juga telah meluncurkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). 

Jelasnya, ia merupakan inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi di mana sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR.

“Selain itu program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Tekun Nasional dan program-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, antaranya Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli,” katanya. 

Sementara itu, Anwar turut memberitahu bahawa menerusi kerangka ekonomi MADANI, kerajaan sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif. 

“Untuk peruntukan khusus, kerajaan juga melaksanakan program Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint. Bagi tujuan ini, Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan diperkasakan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, ketika ini kerajaan mengutamakan untuk ‘menaikkan lantai’ dengan menyediakan jaringan sosial ampuh buat golongan yang kurang bernasib baik. 

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan ‘menaikkan siling’ dengan mereformasi industri dan struktur ekonomi negara waima berdepan dengan cabaran keterbatasan fiskal.

Menurutnya, kerajaan juga akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan Sistem Perlindungan Sosial.

“Bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan,” ujarnya. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *