PUTRAJAYA – Pihak industri dan hospital pengajar universiti (HPU) bakal menerima geran padanan penyelidikan mulai tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian akan menyediakan geran padanan penyelidikan tersebut bagi mendorong pihak industri menggunakan HPU dalam pelbagai penyelidikan yang dijalankan.
Menurutnya lagi, ia juga bertujuan untuk inovasi dalam sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan.
“Kita kena dekati dan bekerjasama erat dengan pihak industri khususnya dalam bersama-sama melakukan penyelidikan. Sinergi ini mesti dibina secara strategik terutamanya dengan syarikat-syarikat besar yang menerajui dan mempelopori perkembangan teknologi dan inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
“Ini juga penting kerana pihak universiti akan dapat berkongsi hasil daripada penyelidikan sama ada dari segi royalti, startup (pemula niaga) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Karnival Penyelidikan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 2023.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyediakan satu kertas strategik yang memfokuskan dua perkara.
“Antaranya, semakan dasar kementerian berkaitan startup di bawah institusi pengajian tinggi dan strategi serta suntikan yang lebih berkesan untuk melonjakkan startup bagi menjadikan entiti itu sebagai penyumbang yang bernilai kepada ekonomi negara.
“Saya percaya di universiti termasuk dalam PPUM pun tentu ada inovasi penyelidikan yang sudah memulakan startup tetapi perlukan lonjakan. Jadi kita akan kaji semua dasar mengenai startup supaya perkara yang menjadi cabaran dan halangan akan dapat diatasi,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berharap agar sebarang penemuan penyelidikan atau hasil inovasi oleh mana-mana HPU akan terpakai kepada semua HPU yang lain dalam usaha mengeratkan lagi kerjasama.
“Kementerian akan pantau kerana peruntukan kementerian untuk HPU adalah besar, macam untuk PPUM setiap tahun mencecah RM400 juta dan ini digunakan bukan sahaja untuk melahirkan doktor dan doktor pakar tetapi juga bagi merancakkan penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Be First to Comment