PUTRAJAYA – Kerajaan telah meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) atau lebih dikenali sebagai PeGTaECRL dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-42.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PeGTaECRL merupakan dokumen perancangan guna tanah jangka panjang bagi memandu pembangunan di sekitar 20 stesen dan di sepanjang laluan ECRL yang telah dikenal pasti.
“Dokumen ini berperanan sebagai dokumen rujukan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dijangka dapat menarik pelaburan yang akan memacu pembangunan mampan ke arah keseimbangan antara Wilayah Pantai Timur dan Wilayah Pantai Barat Negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa mesyuarat juga telah bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan sektor kenderaan elektrik (EV) melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan (GPP EVCB).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketersediaan infrastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini.
Jelasnya, dari segi sasaran, Malaysia melalui National Energy Transition Roadmap 2023 (NETR) telah mensasarkan penggunaan EV sebanyak 38 peratus pada tahun 2040 dan 80 peratus pada tahun 2050.
“Sasaran penggunaan EV yang tinggi memerlukan sokongan dari segi penyediaan infrastruktur lengkap. Sehubungan itu, kerajaan telah memberi komitmen untuk pembinaan 10,000 stesen pengecasan EV awam menjelang tahun 2025.
“Sehingga kini hanya 1,246 stesen pengecasan EV telah beroperasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu bahawa kelestarian alam semulajadi turut menjadi agenda penting dalam perancangan dan pembangunan bandar dan desa di Malaysia.
Menurutnya, penghasilan dokumen Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) menjadi asas gerak kerja bagi merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan sesebuah Geopark secara bersistem, terurus serta mengikut piawaian kebangsaan dan antarabangsa.
Tambah beliau lagi, mesyuarat juga telah bersetuju dengan pemakaian kedua-dua dokumen berkaitan untuk pembangunan dan pelaksanaan Geopark.
Anwar turut menegaskan agar usaha mempercepatkan proses pembangunan dengan meningkatkan lagi kecekapan yang menumpukan kepada kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di Malaysia.
“Semua jabatan atau agensi di peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diseru agar terus memberikan perhatian terhadap perkara ini bagi meningkatkan lagi keyakinan pelabur,” katanya.
Be First to Comment