PUTRAJAYA – Kedudukan Malaysia di mata dunia akan diperkukuh melalui pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin dan kapten industri dari sekurang-kurangnya lima negara semasa lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS).
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, melalui pertemuan itu, Malaysia juga berpeluang untuk menarik pelaburan ke dalam negara.
Menurutnya, Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada Jumaat ini, akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin dari Turkiye, Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq.
“Anwar juga akan bertemu bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark, yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Inisiatif Ketelusan Industri Ekstraktif (Chair of the Extractive Industries Transparency Initiative Board), piawaian global bagi tadbir urus baik dalam industri minyak, gas dan mineral.
“Jadual Perdana Menteri amat padat sejurus tiba di sini pada Rabu bermula dengan mesyuarat dua hala bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. Malah kita terus mendapat permintaan daripada negara lain untuk bertemu beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sewaktu berada di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Dalam pada itu, Zambry memberitahu bahawa mesyuarat bersama Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani akan membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan mereka dan meneroka bidang kerjasama baharu.
Jelasnya, Iraq ingin belajar daripada Malaysia mengenai usaha dalam membina semula negara pascaperang.
“Ini merupakan peluang luas buat kita dalam bidang seperti petroleum dan gas,” katanya.
Beritahu Zamry, Anwar dijadual menyertai Perbincangan Meja Bulat dengan Fortune 500 Companies dan sesi libat urus dengan Invest Malaysia New York pada Khamis.
Tambah beliau lagi, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga akan bertemu usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari AS seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International dan Procter & Gamble (P&G) semasa kedua-dua sesi.
Pada hari sama, Anwar akan menghadiri sesi perbincangan dengan Ahli Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), sebuah badan pemikir dan penerbit bebas bukan partisan yang mempromosikan pemahaman mengenai hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, sewaktu sesi berkenaan Anwar dijangka membincangkan hubungan Malaysia-AS, kesan persaingan AS-China terhadap Malaysia serta kepentingan diplomasi Malaysia di Asia Tenggara.
Semasa di New York, Anwar juga dijadual ditemu bual oleh Christiane Amanpour dari CNN pada Rabu dan Bloomberg pada keesokan harinya.
Be First to Comment