PUTRAJAYA – Dalam mendepani cabaran ekonomi serantau dan situasi geopolitik semasa, agensi kerajaan dan swasta perlu tahu akan cabaran yang bakal dihadapi oleh para usahawan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, kedua-duanya perlu mencari pendekatan terbaik dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada usahawan untuk terus berkembang maju.
“Kerajaan amat komited dalam memastikan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif dapat dicapai menjelang tahun 2030.
“Peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) adalah menggalakkan dan mengukuhkan peranan sektor PMKS dalam kemajuan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran SME Bank XCESS 2023, Kuala Lumpur pada Khamis.
Jelasnya, komitmen tersebut akan diterjemahkan melalui pengukuhan infrastruktur yang menyokong pembangunan PMKS, membina kapasiti dan keupayaan PMKS dan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PMKS.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa KUSKOP menyokong penuh SME Bank XCESS sebagai satu ‘flagship programme’ anjuran SME Bank sebagai komitmen berterusan memacu pertumbuhan PMKS secara inklusif dan mampan.
“Program itu menyokong komitmen kerajaan apabila strategi SME Bank untuk memastikan kemudahan, jangkauan dan perkhidmatan kepada PMKS dapat ditawarkan secara harmoni membuka pelbagai peluang kepada semua.
“Ini akan membantu dari segi peningkatan kapasiti, pengenalan kepada keadaan dan keperluan pasaran serta belajar daripada usahawan yang telah berjaya di pasaran luar,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan sumbangan PMKS dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga telah meningkat kepada 38.4 peratus pada 2022 dengan nilai tambah berjumlah RM580.4 bilion berbanding RM520 bilion pada 2021.
Pada masa sama, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail berkata, SME Bank XCESS akan menampilkan 100 rakan strategik pada tahun ini termasuk agensi kerajaan, syarikat GLC, syarikat runcit dan pasar raya besar serta syarikat anchor dan pembeli antarabangsa.
Beliau berkata, pengenalan XCESS Beyond Borders akan membolehkan PMKS berhubung dengan 24 pembeli dari negara-negara ASEAN dan India.
“SME Bank kini bekerjasama dengan tujuh buah syarikat anchor di bawah Program Umbrella iaitu Ramly Food Processing Sdn Bhd, Prowheels Distributor Sdn Bhd, Kara Holdings Sdn Bhd, Chatime Malaysia Sdn Bhd, Bubblebee Sdn Bhd, Bateriku Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd.
“Tiga lagi syarikat anchor baharu untuk 2023 iaitu MAIWP Healthcare Sdn Bhd, Glories Gadget Sdn Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd serta sembilan peserta program yang akan bernaung di bawah pelbagai syarikat anchor.
“Dua syarikat anchor di bawah program Umbrella SME Bank iaitu Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd dan Bateriku Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik untuk menyediakan rangkaian bekalan, perkhidmatan ‘pick-up and drop’ serta pembangunan modal insan untuk bengkel PETRONAS AutoExpert,” katanya.
Be First to Comment