PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Nasional Bhd (DNB) yang baharu akan diumumkan selepas semua perkara melibatkan perjanjian langganan saham dimuktamadkan.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada semua CEO pengendali rangkaian mudah alih (MNO) tentang memuktamadkan pemeteraian perjanjian langganan saham.
Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang mempengerusikan bersama mesyuarat pasukan petugas 5G akan meneliti aspek akhir sebelum pemeteraian itu dilaksanakan.
“Kami akan memaklumkan kepada media apabila pemeteraian itu dilaksanakan selepas semua MNO yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu telah mengambil ekuiti mereka.
“Sama ada semasa atau selepas menandatangani (kami akan mengumumkan CEO), mudah-mudahan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Malaysia Digital Expo (MDX 2023), pada Isnin.
Dalam pada itu, Fahmi turut menjawab mengenai kritikan oleh sekumpulan wartawan veteran mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan MCMC dalam tempoh masa terdekat.
Katanya, ia bertujuan untuk memahami perkara yang berlaku antara mereka dan cara untuk memperbaiki keadaan.
“Saya perlu mendapatkan sedikit taklimat daripada mereka dahulu, sebelum saya boleh mengulas tetapi saya menghormati pandangan wartawan, sama ada mereka wartawan veteran atau muda dan bagi saya semua wartawan adalah penting dan kebebasan akhbar adalah suatu yang sangat penting kepada kerajaan.
“Pada masa yang sama, fakta yang betul juga sangat penting dan itulah sebabnya kami percaya bahawa mungkin Majlis Media Malaysia akan menjadi jalan yang sangat baik untuk membincangkan dan menyelesaikan beberapa isu. Kita berharap pada tahun depan kita boleh membawa rang undang-undang itu ke Parlimen dan meluluskan undang-undang untuk wartawan,” katanya.
Be First to Comment