KUALA LUMPUR – Bajet 2026 memperuntukkan RM1 bilion bagi memperkukuh inisiatif “Ikhtiar Madani Untuk Rakyat” dengan tumpuan kepada pemerkasaan komuniti, penjanaan pendapatan belia dan pembangunan luar bandar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan utama melibatkan peluasan program Sejati Madani.
Peluasan itu memberi peluang kepada belia melaksanakan projek berasaskan komuniti seperti mengendalikan mesin layan diri dan menyertai perusahaan pertanian, khususnya sistem fertigasi.
“Sebagai tanda komitmen, pimpinan negara dan pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, turun padang sendiri untuk menyelesaikan isu di kampung dan sekolah,” katanya ketika membentangkan Bajet 2026.
Selaras pendekatan proaktif tersebut, kerajaan merancang menambah bilangan Kampung Angkat Madani kepada 500 kampung pada tahun hadapan.
Dalam masa sama, Sekolah Angkat Madani akan ditingkatkan kepada 1,500 buah dengan penyertaan sektor swasta.
Program Solar Madani yang telah menyiapkan 4,000 pemasangan lampu jalan solar di Sabah turut akan diperluas ke kampung di seluruh negara.
Langkah berkenaan bertujuan meningkatkan keselamatan dan akses prasarana asas untuk penduduk.
Anwar memaklumkan, program sumbangan sektor swasta Sejahtera Madani yang menyasar pembasmian miskin tegar setakat ini mengumpul RM120 juta.
Pencapaian itu, katanya, menunjukkan dukungan korporat yang kukuh terhadap agenda kebajikan nasional.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, khususnya badan korporat yang terlibat dalam program Ikhtiar Madani Untuk Rakyat.
Bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas, syarikat dan individu yang mempunyai pendapatan perniagaan serta menyumbang kepada Kampung Angkat, Sekolah Angkat Madani atau Sejahtera Madani layak menuntut potongan cukai pendapatan.
“Inisiatif ini mencerminkan kesepaduan usaha kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam mengangkat martabat rakyat dan memajukan negara di bawah kerangka Madani,” katanya.
Ikuti Kami Di: