Press "Enter" to skip to content

Bakal jemaah dialu-akukan penuhi konsep istito’ah – Mohd Na’im

PUTRAJAYA – Bakal jemaah haji dialu-alukan untuk memenuhi konsep ‘istito’ah’ atau berkemampuan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, cadangan tersebut dibuat oleh pihak kerajaan adalah untuk memudahkan urusan Tabung Haji (TH) memberikan bantuan kewangan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Jemaah yang memilih untuk membayar penuh bayaran haji yang dikenakan bukan sahaja menghayati konsep Istito’ah, tetapi insya-Allah akan meraih lebih barakah daripada ibadat haji mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media tempatan sewaktu berlangsungnya sidang media selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH 1444H/2023M pada Isnin. 

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata sekiranya para jemaah memenuhi konsep berkenaan ia secara tidak langsung membantu menjamin TH agar dapat berkhidmat untuk generasi akan datang. 

Pada masa sama, beliau memaklumkan konsep berkenaan diperkenal disebabkan kos haji dijangka terus meningkat. 

Menurutnya, peningkatan tersebut termasuk kos penginapan, pengangkutan, penerbangan, makan minum dan lain-lain caj perkhidmatan. 

“Ia berada di luar kawalan TH. Ketika ini purata kenaikan kos meningkat sehingga lima ke enam peratus,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH akan menanggung kos tidak langsung yang diberikan secara percuma kepada semua jemaah haji.

Antaranya, penganjuran kursus bimbingan haji di setiap negeri, penerbitan buku dan risalah panduan haji, kos petugas haji, perkhidmatan perubatan, prasarana stesen berlepas serta pelbagai perkhidmatan tambah nilai lain untuk keselesaan jemaah.

TH telah menerima sumbangan bernilai RM3.3 juta  daripada 29 organisasi bagi melancarkan urusan ibadah jemaah Haji Malaysia pada 2023M/ 1444H melalui program Sahabat Korporat TH 

“Sumbangan tersebut dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian,” ujarnya. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *