Press "Enter" to skip to content

Bank Dunia jangka pertumbuhan ekonomi Malaysia menyederhana kepada 3.9 peratus

PUTRAJAYA – Bank Dunia memaklumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 3.9 peratus pada tahun 2023.

Ketua Ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan daripada unjuran 4.3 peratus pada April tahun ini di tengah-tengah penyusutan permintaan luar.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, permintaan domestik dijangka terus menyokong daya tahan ekonomi Malaysia tahun ini, namun ruang fiskal yang terhad kekal menjadi cabaran utama kepada negara. 

“Pertumbuhan bagi tahun ini sebenarnya 0.4 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran kami sebelum ini disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak mengejutkan, pertumbuhan global yang lebih rendah dan permintaan luar yang lemah pada tahun ini.

“Ia dapat dilihat daripada angka eksport Malaysia, yang menguncup sebanyak 3.3 peratus (pada suku pertama) dan 9.4 peratus (pada suku kedua) tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media tempatan sewaktu berlangsungnya majlis pengumuman Kemas Kini Oktober Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2023 dan bahagian pertama Malaysia Economic Monitor (MEM) bagi bulan September 2023, pada Isnin. 

Mengulas lanjut, Apurva berkata, ekonomi Malaysia sensitif terhadap perubahan permintaan luar, terutamanya berkaitan rakan dagang terbesar negara, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau turut menganggarkan penurunan satu mata peratusan dalam kadar pertumbuhan AS boleh mengurangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 0.82 mata peratusan. 

Katanya, penurunan 1.0 mata peratusan dalam kadar pertumbuhan KDNK China boleh menyeret turun KDNK Malaysia sebanyak 0.45 mata peratusan.

“Bukan hanya faktor luaran yang mempengaruhi pertumbuhan Malaysia tetapi juga faktor domestik, termasuk kesan asas daripada pertumbuhan tinggi tahun lepas dan keadaan cuaca yang ekstrem. 

“Ia memberi implikasi, dan perlu diingat bahawa kebanyakan pengeluaran beras tertumpu di bahagian wilayah utara Malaysia. Keadaan cuaca ekstrem boleh memberi kesan yang tidak seimbang kepada pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya.

Tambah Apurva lagi, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah melepasi paras sebelum pandemik, namun kadar kemiskinan mutlak di Malaysia berada pada 6.2 peratus. 

“Ia masih tinggi daripada kadar kemiskinan sebelum pandemik sebanyak 5.6 peratus. 

“Tidak semua isi rumah mengalami pemulihan yang seragam. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah melepasi paras sebelum pandemik, tetapi hampir setengah juta isi rumah kekal berada di bawah garis kemiskinan.

“Manfaat pertumbuhan tidak tersebar sepenuhnya kerana kira-kira setengah juta isi rumah kekal di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *