Press "Enter" to skip to content

Belanjawan 2024 ambil kira kesejahteraan kewangan jangka panjang untuk rakyat Malaysia – KSWP

PUTRAJAYA – Kesejahteraan kewangan penduduk Malaysia yang semakin tua telah diberi perhatian utama dalam Belanjawan 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas mampu menangani beberapa kebimbangan yang dibangkitkan KWSP mengenai kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.

“Belanjawan mencerminkan langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran penduduk Malaysia yang semakin tua disebabkan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan rasmi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pada masa ini, hanya 60% tenaga buruh yang dilindungi di bawah skim persaraan rasmi iaitu Skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, tahap simpanan yang rendah dalam kalangan ahli KWSP juga terpaksa ditangani bagi memastikan mereka dapat bersara dengan selesa dan bermakna.

Kenyataan itu turut berkata, antara sorotan utama Belanjawam 2024 ialah peningkatan insentif padanan kerajaan untuk program i-Saraan, peluasan program i-Sayang kepada suami, lanjutan program i-Suri dengan sumbangan sepadan dan jumlah insentif maksimum untuk suri rumah dan penstrukturan semula akaun KWSP.

“KWSP mengalu-alukan inisiatif melanjutkan program i-Saraan melangkaui 2023 dan meningkatkan had insentif maksimum tahunan daripada RM300 kepada RM500 setahun.

“Selain itu, program ini juga telah dipertingkatkan di mana rakyat Malaysia yang layak dalam sektor tidak formal, termasuk suri rumah dan mereka yang tiada pendapatan tetap di bawah umur 60 tahun akan berpeluang menerima insentif seumur hidup RM5,000 setiap individu, dengan had sebanyak RM500 setahun.

“Insentif ini ditetapkan untuk memanfaatkan lebih 350,000 peserta i-Saraan semasa dan baharu.”

Program i-Sayang juga akan diperluaskan kepada golongan suami pada tahun hadapan.

“Isteri yang bekerja akan mempunyai pilihan untuk memperuntukkan 2% daripada caruman KWSP bulanan mereka (bahagian pekerja) kepada akaun KWSP suami mereka.

“Program i-Sayang yang dilancarkan pada Mac lalu membolehkan suami memperuntukkan 2% daripada caruman KWSP bulanan (bahagian pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri.

“Sejak pelancarannya, kira-kira 34,000 suami telah mendaftar dan menyertai i-Sayang, bersamaan dengan simpanan terkumpul RM14.7 juta,” tambah kenyataan itu.

Program i-Suri, yang telah dilanjutkan dengan sumbangan sepadan dan jumlah insentif maksimum untuk suri rumah, mengiktiraf sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan pembangunan negara.

“Insentif sepadan akan disediakan bagi setiap ringgit yang dicarum ke dalam skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 60 tahun yang didaftarkan dalam pangkalan data e-Kasih.

“Selain itu, peserta program i-Suri akan berpeluang menerima insentif seumur hidup sehingga RM3,000 setiap individu, tertakluk kepada had RM300 insentif padanan setahun.”

Akhir sekali, sejajar dengan fenomena penuaan yang pesat dan landskap kerja yang semakin tidak formal di Malaysia, KWSP berkata ia terus mengkaji semula skim KWSP bagi memastikan ahli dapat memenuhi keperluan hidup mereka tanpa menjejaskan simpanan persaraan mereka.

“Bagi membantu ahli mengimbangi keperluan jangka pendek, sederhana dan panjang, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk mengukuhkan simpanan persaraan mereka untuk kesejahteraan hari tua mereka.

“Pada masa yang sama, KWSP juga akan memperkenalkan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, terutama ketika kecemasan,” kata kenyataan itu.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *