Press "Enter" to skip to content

Belanjawan MADANI 2024: Kerajaan usaha tambah peruntukan bina, baik pulih perumahan polis

PUTRAJAYA – Menerusi Belanjawan MADANI 2024 kerajaan berusaha untuk menambah peruntukan dalam membaik pulih dan membina perumahan polis.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kebanyakan kediaman polis yang ada, hanya sekitar 40 ke 60 peratus sahaja yang boleh didiami dengan bakinya berada dalam keadaan tidak selamat.

“Insya-ALLAH menerusi Belanjawan MADANI yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober, kita akan cuba menambah peruntukan untuk perumahan. Insya-ALLAH hal-hal lain macam perumahan tujuan paling utama di sini, yang itu kita akan menyegerakan untuk tambah peruntukan,” katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Rakyat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama Warga dan Keluarga Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di Briged Utara PGA.

Sebelum ini, Anwar juga ada mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menaik taraf kelengkapan dan rumah daif pasukan tentera, serta RM40 juta untuk perumahan polis termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah diluluskan. 

Beritahu Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau berani untuk mengumumkan peruntukan tambahan itu kerana ekonomi negara yang kini semakin berkembang. 

Jelasnya, kini banyak pihak yang mahu melakukan pelaburan dalam negara. 

“Jadi saudara, kalau tidak ada pelaburan, saya tidak akan mampu mengumumkan peruntukan tambahan,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *