1 minit bacaan
10/10/2025

Budi95 Jana Penjimatan, Perkukuh Bantuan Bersasar

KUALA LUMPUR – Program Budi95 dijangka menjana penjimatan yang akan digunakan untuk memperkukuh bantuan sosial bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), menurut Kementerian Kewangan.

Langkah ini memastikan sumber fiskal dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan rentan.

Di bawah Budi95, warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak membeli RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.

Bagi bukan warganegara, harga yang dikenakan adalah harga tanpa subsidi.

Dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan pada Jumaat (10 Oktober), kementerian memaklumkan bahawa selain Budi95, pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel dan inisiatif Budi Madani turut menunjukkan hasil positif.

Hasil tersebut merangkumi pengurangan ketirisan, peningkatan kecekapan penggunaan sumber dan penjimatan fiskal.

“Peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada rangka kerja bersasar telah menangani herotan ekonomi yang lama berlarutan, sambil melindungi kebajikan rakyat melalui program Budi Madani dan Budi95,” kata kementerian itu.

Kementerian turut menyatakan bahawa program subsidi bersasar yang diperkenalkan kerajaan telah menjana penjimatan melebihi RM7 bilion sepanjang tahun sejak pelaksanaannya pada Jun 2024.

Jumlah itu mengatasi unjuran awal penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion.

Peralihan kepada inisiatif ini memberi manfaat kewangan yang ketara dengan mengurangkan tekanan fiskal.

Ia juga membuka ruang untuk menampung perbelanjaan pembangunan yang menjadi keutamaan.

“Dengan dasar yang dirangka baik, pendekatan sistematik dan komunikasi yang berkesan, kerajaan boleh melaksanakan program rasionalisasi subsidi dengan lancar demi memperkukuh kesihatan fiskal serta mengekalkan perlindungan sosial,” jelas Kementerian Kewangan.