PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang ke-17 pada 28 Julai ini bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara secara rasmi pada 2 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan lewat malam semalam.
Pelantikan beliau sekali gus menjadikan figura kelahiran Kuala Terengganu itu sebagai individu ke-17 yang memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.
Datuk Wan Ahmad Farid, 62, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London pada tahun 1985 sebelum melanjutkan kelayakan profesionalnya dengan memperoleh Sijil Amalan Guaman (CLP) dengan kepujian dari Universiti Malaya pada 1986.
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang guaman sebagai peguam bela dan peguam cara di firma Messrs Adnan & Wee di Kuala Terengganu dan berkhidmat di firma itu selama 16 tahun dari 1987 hingga 2003.
Selain memiliki pengalaman luas dalam perundangan, beliau turut terlibat secara aktif dalam bidang pentadbiran awam dan politik.
Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari tahun 2003 hingga 2008.
Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2008 dan berkhidmat dalam jawatan tersebut sehingga 2009.
Selepas menamatkan tugas dalam pentadbiran awam, Datuk Wan Ahmad Farid kembali ke dunia guaman dan menjadi rakan kongsi di firma Messrs Wan Farid & Surin yang beroperasi di Kuala Lumpur dari tahun 2011 hingga 2015.
Beliau memulakan karier kehakimannya pada tahun 2015 apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan ditempatkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kota Bharu sehingga tahun 2019.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan berkhidmat dari 2019 hingga 2024 di beberapa lokasi penting seperti Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) dan Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).
Pada 12 November 2023, beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan, menjadikan perkhidmatannya semakin hampir dengan puncak institusi kehakiman negara.
Antara kes penting yang pernah diputuskan oleh beliau ialah satu keputusan penting yang melibatkan semakan perlembagaan berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat.
Dalam penghakiman itu, Datuk Wan Ahmad Farid menegaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah kuasa prerogatif yang tidak boleh dicabar di mahkamah.
Pandangan beliau dalam keputusan tersebut menekankan prinsip perlembagaan bahawa pengisytiharan darurat merupakan satu bidang kuasa eksklusif Seri Paduka Baginda, sekali gus memperkukuhkan ketertinggian perlembagaan sebagai asas sistem demokrasi negara.
Selain itu, beliau juga pernah menganggotai panel hakim dalam satu kes besar di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan pertikaian tanah berkeluasan 263.272 ekar dikenali sebagai ‘Duta Enclave’ yang membabitkan syarikat Semantan Estate Sdn Bhd.
Sepanjang kariernya dalam bidang kehakiman dan perundangan, Datuk Wan Ahmad Farid dikenali sebagai seorang tokoh yang berintegriti, berpengalaman luas dan memiliki pendekatan analitik yang seimbang dalam membuat keputusan.
Pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara dijangka membawa kesinambungan kepada usaha reformasi kehakiman yang telah dirintis oleh Tun Tengku Maimun, khususnya dari segi ketelusan, ketegasan terhadap integriti dan pemerkasaan prinsip perlembagaan.
Majlis angkat sumpah rasmi akan diadakan pada 28 Julai ini di Istana Kehakiman, Putrajaya, sekali gus menjadikan beliau peneraju tertinggi institusi kehakiman Malaysia.
Ikuti Kami Di: