Press "Enter" to skip to content

Dua mangsa nahas Elmina terima sumbangan peribadi daripada Anwar

PUTRAJAYA – Dua keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam telah menerima sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook milik Ahli Parlimen Tambun itu. 

Beritahu Anwar, sumbangan berkenaan disampaikan melalui setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, pada Jumaat (25 Ogos) semasa menziarahi waris Allahyarham, Idris Abdol Talib @ Ramali di Kampung Ketari, Bentong.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu berkata, Ahmad Farhan turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan beliau kepada keluarga Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin di Felda Mempaga 1, Karak.

“Saya turut berdukacita dan mendoakan agar keluarga terus diberikan kekuatan serta ketabahan yang tinggi saat diuji dengan ujian besar ini,” ujarnya.

Pada 17 Ogos lalu, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan dilaporkan terhempas beberapa minit sebelum mendarat. 

Dalam nahas berkenaan, seramai 10 orang terkorban termasuk Datuk Seri Johari Harun yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *