Press "Enter" to skip to content

Duti anti-lambakan dikenakan ke atas keluli Jepun – MITI

PUTRAJAYA – Berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Mycron Steel CRC Sdn Bhd, kerajaan telah mengenakan duti anti-lambakan ke atas gulungan sejuk keluli Jepun berikutan selesainya siasatan yang bermula pada 31 Januari lalu. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat terhadap terhadap import produk gulungan sejuk keluli aloi atau bukan aloi dengan ketebalan 0.20 milimeter (mm) hingga 2.60mm serta kelebaran 700mm hingga 1,300mm.

Kata kenyataan itu, Nippon Steel Corporation telah dikenakan duti pada kadar 9.03 peratus manakala pengeluar lain pada kadar 22.62 peratus.

“Penyiasatan tersebut dibuat mengikut Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 serta Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 adalah tidak termasuk plat hitam kilang timah atau gegelung gulungan sejuk yang diimport bagi tujuan penggunaan akhir automotif atau elektrik dan elektronik yang berasal atau dieksport dari Jepun.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti antilambakan bagi tempoh lima tahun, berkuatkuasa pada 29 September 2023 hingga 28 September 2028.

“Pengenaan duti antilambakan ke atas eksport degangan subjek dari Jepun adalah untuk menangani aktiviti amalan perdagangan yang tidak adil,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Oleh yang demikian, pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar atau pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai penentuan muktamad dengan membuat permohonan bertulis kepada kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, MITI turut memaklumkan bahawa pihaknya juga menamatkan penyiasatan dan mengecualikan daripada pengenaan duti antilambakan bagi pengeluar atau pengeksport asing dengan margin lambakan ‘de minimis’ iaitu Daido Steel Co., Ltd. dan JFE Steel Corporation. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *