1 minit bacaan
10/10/2025

Ekonomi Malaysia Dijangka Tumbuh 4.0–4.5% Pada 2026 — Anwar

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sederhana antara 4 hingga 4.5 peratus pada 2026 berbanding 2025 susulan suasana global yang mencabar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata unjuran itu berpaksikan anggaran pertumbuhan tahun ini yang berada dalam lingkungan 4 hingga 4.8 peratus.

Menurutnya, meskipun konflik serantau dan tekanan berkaitan tarif menekan persekitaran luaran, asas domestik negara kekal kukuh dan membolehkan Malaysia menghadapi kejutan luar dengan lebih berkesan.

Kenyataan itu dimuatkan dalam prakata Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, 10 Oktober.

“Perjalanan reformasi struktur Malaysia terus berlandaskan kedudukan fiskal yang teguh, memperkukuh prinsip pengurusan kewangan awam yang berhemat, di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu,” katanya.

“Keyakinan ini turut dikongsi institusi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang kekal berpandangan positif terhadap Malaysia biarpun awan gelap menyelubungi ekonomi dunia,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Beliau menambah ekonomi Malaysia kekal pada landasan pertumbuhan stabil dan berdaya tahan, dengan pengembangan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 yang meletakkan negara antara peneraju serantau.

Momentum itu didorong permintaan domestik yang kukuh, disokong aliran pelaburan berterusan, kenaikan upah dan pasaran buruh yang stabil.

“Lonjakan 11 anak tangga Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 kepada kedudukan ke-23 adalah undi kepercayaan jelas terhadap asas kita, dan ia adalah pencapaian terbaik sejak 2020,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan kekal tekal menangani cabaran struktur berakar umbi termasuk ketaksamaan pendapatan, jurang pembangunan wilayah, perubahan iklim dan penuaan demografi.

Sementara itu, defisit fiskal mengecil daripada 5.5 peratus KDNK pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan sasaran pengurangan lanjut kepada 3.5 peratus pada 2026 dan 3 peratus dalam tempoh sederhana di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam 2023 (Akta 850).

“Membina semula penampan fiskal adalah suatu keperluan, lebih-lebih lagi ketika kejutan ekonomi kian kerap dan lebih parah dalam iklim global yang tidak menentu hari ini. Bagi mengecilkan defisit, reformasi fiskal dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata Akta 850 dan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 yang diperkenalkan turut menjadi sebahagian usaha meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan operasi.

Perdana Menteri memaklumkan penambahbaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois dan rasionalisasi subsidi bersasar, termasuk bagi diesel, RON95 dan elektrik, telah menjana penjimatan berbilion ringgit.

Penjimatan itu, katanya, disalurkan semula untuk memperkukuh bantuan dan sokongan sosial langsung, dengan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat 50 peratus dalam tempoh setahun kepada RM15 bilion, memanfaatkan sehingga 22 juta rakyat Malaysia.