Press "Enter" to skip to content

Gabenor Jeneral New Zealand adakan lawatan sulung ke Malaysia

PUTRAJAYA – Sempena lawatan sulung Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro telah disambut di Istana Negara pada Isnin. 

Sempena lawatan selama empat hari yang bermula pada Ahad, Kiro ditemani pasangannya, Dr Richard Davies dan ketibaannya mereka disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketibaan pasangan berkenaan turut menerima kunjungan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Istiadat sambutan itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan New Zealand dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Kapten Sabri Hamil disusuli tembakan meriam 21 das.

Pada istiadat berkenaan juga, Gabenor Jeneral New Zealand itu turut memeriksa kawalan kehormat melibatkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kuala Lumpur diketuai Mejar Mohd Waqiyudin Abd Rahman.

Di kesempatan berkenaan, Kiro bersama Al-Sultan Abdullah berkenan menanam pokok nona atau nama saintifiknya Annona Squamosa di halaman istana. 

Selepas berakhirnya istiadat itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja diikuti majlis penamaan spesies orkid baharu dinamakan Dendrobium Cynthia Kiro sebagai penghormatan kepada pemimpin New Zealand berkenaan.

Ini merupakan lawatan pertama Kiro ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan sebagai Gabenor Jeneral New Zealand pada 21 Oktober 2021.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *