KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan Geran Khas Persekutuan berjumlah RM600 juta yang diperuntukkan kepada Sabah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa sejak pembentukan Malaysia, jumlah geran untuk Sabah kekal sekitar RM26 juta sebelum dinaikkan kepada RM300 juta di bawah kerajaan MADANI, dan seterusnya ditingkatkan lagi kepada RM600 juta bagi tahun 2025.
“Tanggungjawab kita ialah mengangkat martabat, maruah, ekonomi dan kesejahteraan sosial semua negeri.”
“Dalam menetapkan kerangka yang lebih menyeluruh, kelulusan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan Negara telah diambil kira,” katanya pada Ucaptama Integriti Perdana dan Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan (AIGA 2025) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Anwar berkata Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober berhubung semakan Geran Khas Persekutuan untuk Sabah.
“Sambil menghormati keputusan mahkamah, adalah perlu diperjelas bahawa sebagai sebuah negara yang komited kepada integriti, kita mesti menunaikan dan memenuhi janji, khususnya dalam semangat Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan perkara berkaitan peruntukan untuk Sabah perlu diperjelaskan agar tidak dijadikan alat manipulasi politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Apabila kita bercakap tentang tadbir urus dan integriti, ia perlu dilihat secara keseluruhan. Jika tidak, kita menjadi mangsa politik sempit.”
“Sebab itu, di Parlimen, saya nyatakan bahawa sebahagian yang menentang perkara ini sendiri ialah bekas menteri, termasuk bekas perdana menteri serta bekas menteri Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Sebelum itu, di Parlimen hari ini, Anwar menyatakan kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memperkasa kemakmuran Sabah dengan menggandakan Geran Khas Persekutuan kepada RM600 juta, jumlah tertinggi setakat ini.
Beliau berkata bayaran penuh telah dibuat pada 10 September, susulan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah selepas semakan dibuat di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ikuti Kami Di: