KUALA LUMPUR – Himpunan anjuran pembangkang yang berlangsung di ibu kota pada hujung minggu lalu menyaksikan peralihan besar dalam landskap politik negara apabila ia berjalan aman tanpa sebarang insiden kekerasan.
Ketiadaan gangguan daripada pihak keselamatan dalam himpunan itu menjadi bukti bahawa kerajaan kini menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara damai.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli, berkata senario ini mencerminkan kematangan demokrasi yang sedang dibentuk melalui pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata kerajaan Madani tidak melihat perbezaan pandangan sebagai satu ancaman, sebaliknya sebagai kekuatan untuk membina negara yang lebih inklusif.
“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan.”
“Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.”
Menurut Adam, KEADILAN menyifatkan pendekatan kerajaan yang tidak menyekat himpunan itu sebagai lambang kepada perubahan budaya politik negara.
“Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai.”
“Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.”
Adam turut menyatakan penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang bertugas sepanjang himpunan berlangsung kerana telah memainkan peranan yang sangat profesional.
“Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan.”
“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita; mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.”
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa cita-cita kerajaan Madani tidak terhenti setakat kebebasan sivil semata-mata.
“Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat.”
“Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.”
Beliau juga menyentuh peranan Malaysia di peringkat antarabangsa yang kembali mendapat perhatian dan keyakinan dunia selepas pandemik.
“Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik.”
“Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari.”

Namun begitu, Adam tidak menolak kemungkinan bahawa kejayaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pembangkang.
“Ini mungkin meresahkan pembangkang.”
“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju.”
“Lantas, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi – tidak dengan dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti.”
Beliau berkata KEADILAN tidak melihat himpunan tersebut sebagai satu cabaran atau ancaman, malah menyambutnya sebagai manifestasi budaya politik yang telah berubah daripada zaman pemerintahan lama.
“KEADILAN melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.”
Katanya, dalam sistem demokrasi yang matang, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang harus diterima dan diraikan.
“Perbezaan pandangan harus diraikan.”
“Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.”
Menurutnya lagi, kerajaan telah memperlihatkan komitmen untuk terus menjaga ruang demokrasi yang terbuka dan sihat.
“Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi.”
“Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama?”
“Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?”
Adam juga merumuskan bahawa seluruh rakyat, sama ada yang turun ke jalan raya, yang melihat dari kampung, atau yang bersuara di media sosial, semuanya sedang menyumbang kepada satu titik perubahan penting.
“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting.”
“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil.”
Adam menegaskan, ini semua adalah hasil daripada semangat Madani yang diterapkan dalam kepimpinan negara hari ini.
“Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh.”
Kenyataan beliau menandakan satu titik perubahan dalam politik Malaysia, di mana hak asasi bukan sekadar dijanjikan, tetapi dilaksanakan dalam tindakan yang nyata.
Malaysia kini sedang menyaksikan peralihan daripada autoritarianisme kepada keterbukaan, daripada penindasan suara rakyat kepada meraikan kebebasan bersuara.
Ikuti Kami Di: