Press "Enter" to skip to content

Isu ketiadaan kerusi, Wisma Putra jelaskan Sanusi tidak dijemput dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri, lawatan rasmi ke Sadao

PUTRAJAYA -Kementerian Luar Negeri pada Jumaat menegaskan bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak terlibat di dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Alor Setar, baru-baru ini.

Menurut kenyataan rasmi Wisma Putra, Menteri Besar Kedah itu hanya dijemput untuk menyertai program lawatan Anwar bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang dijadualkan pada jam 2.15 petang pada 27 November.

“Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat (pre-council) dan surat berkenaan tidak menyebut tentang mesyuarat ini.

“Tetapi bagi memenuhi permintaan beliau di saat akhir, Anwar telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu, Muhammad Sanusi mendakwa wujud permainan ‘Little Napoleon’ yang cuba mengeruhkan hubungannya bersama Anwar.

Menurutnya, walaupun perbincangan itu berkaitan dengan tanah yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dia tidak diberi tempat sehinggalah Anwar meminta supaya dia diberikan kerusi.

“Saya berdiri sebab tak ada kerusi, tapi saya ucap terima kasih kepada perdana menteri yang nampak saya berdiri lama dan dia minta saya diberikan kerusi.

“Saya bukan rasa terhina tapi nak maklumkan bahaya permainan ‘Little Napoleon’ yang mencatur hubungan pemimpin supaya berlaku pertembungan, pergaduhan dan tak puas hati,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *