Press "Enter" to skip to content

Jangan heret sistem diraja dalam kempen politik – Anwar

Anwar beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Majlis Perasmian Mini KUD di Stadium Sungai Besar pada Sabtu.

PUTRAJAYA – Semua pihak diingatkan tidak mengheret institusi diraja dalam kempen politik bersifat fitnah dan mencerca yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi raja di negara ini perlu dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Jelas beliau, semua pihak perlu menghormati sistem beraja yang diamalkan di negeri ini termasuk Yang di-Pertuan Agong.

“(Institusi diraja) bukan sahaja di Selangor tetapi juga ada di Pahang, Kedah Kelantan dan kita semua ada (pemerintahan) Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Stadium Sungai Besar di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, parti politik tidak boleh mengaitkan institusi diraja dengan kempen bersifat politik.

“Jangan samakan Raja-Raja Melayu dengan kita (rakyat biasa) kerana baginda tidak boleh bercakap dalam kempen seperti ini.

“Raja ada taraf lebih tinggi kerana kedaulatan negara (aspek utama) mencorakkan (sistem perlembagaan),” ujar beliau.

Tegas Anwar, pihak yang didakwa atas tuduhan memainkan sentimen menghina institusi diraja boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kalau kamu cerca dan singgung raja itu nasib kamulah (kerana) pandai cakap tanggunglah,” ujar beliau.

Anwar turut mengambil contoh apa yang berlaku terhadap Pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat di Thailand.

“Pita menang kerusi terbesar di Thailand, namun sehingga kini tidak boleh tubuh kerajaan dan keadaan (politik) terumbang-ambing kerana raja tidak perkenan disebabkan (Pita) menyerang sistem diraja,” jelas beliau.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *