Press "Enter" to skip to content

Kementerian Pengangkutan perkenal pas ‘myBAS Konsesi’, tawar tambang bas percuma kepada golongan sasar di Ipoh, Seremban dan Johor Bahru

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pas ‘myBAS Konsesi’ yang menawarkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas henti-henti kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak serta pelajar sekolah berumur tujuh hingga 17 tahun bermula pada Selasa sempena sambutan Hari Kebangsaan. 

Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) itu yang dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dilaksanakan di Seremban, Ipoh dan Johor Bahru. 

Katanya, lebih 2,500 pengguna golongan sasar bakal menerima manfaat subsidi kos perjalanan itu. 

“Selaras dengan konsep Ekonomi MADANI, inisiatif SBST membantu menambah baik rangkaian pengangkutan awam dalam bandar, jaringan pertama dan terakhir di ketiga-tiga bandar raya terbabit selain mengurangkan kos sara hidup golongan sasar. 

“Pelaksanaan tambang percuma kepada golongan sasar akan diperluaskan ke program SBST di negeri lain secara berperingkat tidak lama lagi,” katanya ketika melancarkan inisiatif tambang percuma ‘myBAS Konsesi’ dan tinjauan ke Terminal One Seremban di Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa. 

Beliau berkata, mereka yang berkelayakan boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan seperti MyKid, MyKad atau MyTentera manakala tiada pendaftaran bagi kanak-kanak berumur enam tahun serta ke bawah.

Tambah Anthony, perkhidmatan bas tersebut melibatkan 58 laluan utama iaitu di Seremban sebanyak 23 laluan, Johor Bahru (19) dan Ipoh (16).

Menurutnya kementerian juga akan membuka semula tender bagi pengendali myBas Konsensi berikutan kontraknya tamat pada hujung tahun ini selepas beroperasi selama tujuh tahun. 

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai perkhidmatan bas tidak mencukupi bagi perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, Anthony berkata, masalah itu disebabkan terdapat operator bas yang tidak beroperasi.

“Terdapat tujuh lesen pengendali antara perkhidmatan Seremban ke Kuala Lumpur, tetapi ada dua operator dan kadangkala hanya satu operator menjalankan perkhidmatan. 

“Ini isu paling besar yang dihadapi oleh rakyat Seremban yang berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Pengangkutan akan berbincang dengan operator bas bagi menangani isu tersebut selain bersedia menambah permit kepada operator.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *