PUYRAJAYA – Kementerian Pertahanan bakal jalinkan kerjasama dengan agensi pusat untuk merangka struktur baharu untuk Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pendekatan itu akan membolehkan ATM seiring dengan organisasi siber pertahanan yang lain di seluruh dunia, selaras dengan Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan keperluan menubuhkan organisasi khusus untuk mengendalikan domain siber, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
“Membina langkah keselamatan siber yang teguh dan memupuk kesedaran keselamatan siber adalah kritikal.
“Tanpanya, insiden seperti pelanggaran data dan gangguan infrastruktur kritikal akan menghakis integriti dan kredibiliti mekanisme pertahanan kita.
“Ini akan menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan rakyat memandangkan medan pertempuran hari ini melangkaui darat, laut dan udara untuk merangkumi dunia siber,” katanya pada ucapan perasmian Siber Siaga 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai Siber Siaga 2023, Adly berkata, program itu bertujuan meluaskan dan memperkukuh kerjasama kukuh merentasi sektor dalam kalangan agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan komuniti siber dalam negara.
Adly berkata, medan perang digital moden meliputi persekitaran komprehensif yang memerlukan pelarasan dan penggunaan teknologi siber yang baru dicipta hampir setiap hari selain mencapai objektif ketenteraan sambil meminimumkan kesan yang tidak diingini khususnya sistem pertahanan negara.
“Siber Siaga 2023 mewujudkan satu platform yang akan menyokong dalam membolehkan asas bagi kerjasama yang komprehensif dan inklusif dalam kalangan sektor.
“Secara tidak langsung, ia ideal untuk menyumbang kepada konsep Pertahanan Komprehensif, satu daripada tonggak strategi dalam Strategi Pertahanan Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Jen (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.
Sementara itu, Shamsuddin berkata, Siber Siaga 2023 mewujudkan platform bagi pemimpin keselamatan siber ASEAN saling bertukar pendapat, idea dan visi ke arah mengembangkan agenda keselamatan siber.
“Pertemuan bersejarah ini juga telah membuka ruang kerjasama dalam membentuk satu komuniti siber ASEAN.
“Beberapa keputusan telah diperoleh dalam membangunkan keupayaan siber dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.
Siber Siaga 2023 dan CyberDSA 2023 yang disertai oleh 70 syarikat, 1,100 ahli profesional, 18 universiti tempatan dan agensi kerajaan bermula pada Selasa dan berakhir pada Khamis ini.
Be First to Comment