Press "Enter" to skip to content

Kerajaan cuba sedaya upaya tangani isu peningkatan harga barang – Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Dalam menangani isu kenaikan harga barangan pada ketika ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Amwar Ibrahim memberitahu bahawa kerajaan akan melakukan sedaya upaya mengawal krisis berkenaan. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui masalah tersebut kini membelenggu rakyat Malaysia, justeru beliau meminta Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dan timbalannya, Datuk Fuziah Salleh untuk memberikan perhatian berhubung perkara itu. 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memfokuskan mengenai isu berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

“Saya akui memang ada masalah harga barang dan keperluan, kita lihat beberapa negara sudah ada keresahan sosial besar kerana sekatan eksport beras, peningkatan cukai eksport bawang.

“Itu semua beri kesan kepada ekonomi dan (harga) barang, tapi kita cuba tangani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Anwar turut mengulas mengenai 

pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan pada Jumaat. 

Menurutnya, pertemuan itu akan menyentuh mengenai ura-ura rombakan kabinet, beliau berkata ia hanya merupakan pertemuan mingguan yang biasa dilakukannya dengan Seri Paduka.

“Mungkinlah, mungkin, nanti saya fikir. Tak ada keperluan mendesak pun sebab yang kosong cuma satu,” kata Perdana Menteri. 

Sebelum ini, media melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan dan dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil Pelangai pada 7 Oktober depan. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *