Press "Enter" to skip to content

Kerajaan negeri Perak peruntuk RM20 juta bagi kerja naik taraf, promosi sempena tahun melawat Perak 2024

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri perak telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk kerja-kerja menaik taraf dan promosi sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, sebanyak RM3.8 juta disalurkan untuk menaik taraf dan membaik pulih kawasan pelancongan di 12 daerah.

“Seterusnya, RM3.2 juta pula diperuntukkan khusus untuk kempen mempromosikan kawasan pelancongan sepanjang TMP 2024 dilaksanakan.

“Kerajaan negeri juga menerima peruntukan berjumlah RM9.09 juta secara berfasa daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) membabitkan 35 projek bagi kerja-kerja pemulihan, pemuliharaan, ubah suai dan naik taraf kawasan pelancongan,” katanya kepada media tempatan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.  

Pada Mei lalu, media melaporkan Sze Yee memberitahu bahawa TMP 2024 dijangka mampu membawa pulangan lebih RM10 bilion dengan sasaran kemasukan 8.35 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MOTAC turut memberi peruntukan tambahan RM1 juta untuk tujuan promosi.  

Dalam pada itu, Sze Yee memberitahu, antara kerja-kerja baik pulih dan naik taraf yang dilaksanakan adalah di Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong, Jambatan Victoria, kawasan ekopelancongan binaan zaman kolonial British di Selama serta menaik taraf Bandar Warisan di Gerik.

“Penekanan lebih akan diberikan kepada pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu sebagai penyumbang utama sasaran antaranya Tasik Cermin, Silverlake Village Outlet, Galeri Rumah Lat, Qi Xi Ling Cultural Village, Maze Garden, Escape@Ipoh dan Geopark Lenggong,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Fiesta Warisan Budaya @ Sungai Siput akan diadakan di Laman Rekreasi Kampung Bahagia di Sungai Siput pada 8 Okt depan.

Jelasnya, pelbagai aktiviti disediakan seperti sukan rakyat atau permainan tradisional, Klinik Seni Budaya, pertandingan buskers alunan tradisi serta jualan produk usahawan industri kecil dan sederhana.

Tambah beliau, fiesta berkenaan turut menjangka seramai 3,000 pengunjung hadir.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *