Press "Enter" to skip to content

Kerajaan pastikan pemilikan kenderaan elektrik sedia untuk semua golongan pendapatan

PUTRAJAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memastikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) tersedia untuk semua kumpulan pendapatan melalui subsidi bersasar dan bantuan kewangan. 

Menurutnya, usaha berkenaan mengambil kira faktor masa hadapan dan Belanjawan 2024. 

“Tumpuan kita jelas kepada keterangkuman yang seiring dengan dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

“Bukan itu sahaja, kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV di negara ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian sewaktu majlis pelancaran Pusat Tesla di Cyberjaya, pada Isnin. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, pelaksanaan dasar dan inisiatif itu memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan.

Katanya, ia secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan di Malaysia.

“Bilangan kenderaan EV berdaftar telah meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022. Setakat September lalu, jumlah berkenaan telah melebihi 7,500 unit berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelumnya..

“Malah, pelaburan dalam industri EV kita juga mencecah paras memberangsangkan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh 2018 sehingga Mac lepas,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, sebarang pelaksanaan dasar EV perlu selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 (NETR 2030).

Jelasnya, tidak ada manfaat negara memiliki pengguna EV sekiranya Malaysia enggan bertindak menghijaukan grid tenaga sewajarnya dengan membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB).

Pada masa sama, Tengku Zafrul turut mengulas mengenai pembukaan syarikat Tesla di Malaysia. Katanya, ia akan memacu keupayaan negara untuk menjadi hab pengeluaran EV serantau yang dapat menarik lebih banyak pelaburan. 

“Malaysia bersedia mempercepat peralihan kepada EV dan seterusnya menyaksikan lonjakan kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor EV,” ujarnya.

Tengku Zafrul berharap, pendekatan itu akan membantu kepada pertambahan inovasi yang akan meletakkan Malaysia di peta dunia dari segi pengangkutan lestari.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *