Press "Enter" to skip to content

Kerajaan perkenal insentif cukai berasaskan pencapaian

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan insentif berkenaan adalah untuk memastikan Malaysia tergolong di antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan, kerajaan akan memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu terus memacu pelaburan langsung domestik, dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik, ekonomi digital dan aeroangkasa.

“Kerajaan bersama-sama dengan GLIC akan melabur dana tambahan sebanyak RM1 bilion secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong usahawan teknologi,” katanya dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat, pada Khamis.

Beritahu Anwar lagi, geran padanan digitalisasi akan ditambah sebanyak RM100 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital, katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan juga akan menambah peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corporation, Tekun, Mara dan Teraju bagi mendukung peluang keusahawanan.

Menurutnya, keutamaan kerajaan dalam tempoh terdekat adalah untuk membina semula kapasiti fiskal negara.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan peratusan hasil cukai ketimbang (berbanding) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menurun kepada 12 peratus yang mana ia paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau.

“Walaupun pembaharuan fiskal diperlukan, kerajaan ini menjamin tidak akan sekali-kali mengabaikan nasib rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan akan terus menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *