Press "Enter" to skip to content

ABIM sarankan kerajaan cari solusi pengharmonian kedua-dua bidang kuasa syariah dan sivil

PUTRAJAYA – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap percanggahan dua bidang kuasa antara syariah di bawah kuasa kerajaan negeri dan sivil di bawah kuasa kerajaan Persekutuan.

Menerusi satu memorandum yang disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ABIM berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya pertikaian bidang kuasa yang disepakati sebelum ini tidak berulang.

Memorandum berkenaan turut menyertakan beberapa solusi yang boleh kerajaan lakukan antaranya langkah untuk pengharmonian kedua-dua bidang kuasa syariah dan sivil dalam masa yang sama meneruskan usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

“Oleh yang demikian, wujud keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan undang-undang jenayah dalam Senarai III iaitu Senarai Bersama Persekutuan dan Negeri, Jadual Kesembilan, dengan menzahirkan kesalahan jenayah syariah berada dalam bidang kuasa negeri.

“Menerusi pindaan ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diberikan kuasa untuk menggubal, meminda serta menguatkuasakan sesuatu undang-undang jenayah dalam ruang lingkup kesalahan jenayah syariah,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Pada Isnin media melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menurut memorandum berkenaan, dalam peruntukan undang-undang sedia ada, terdapat beberapa kesalahan yang diletakkan di bawah kedua-dua bidang kuasa iaitu Enakmen Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan seperti kesalahan sumbang mahram, pelacuran, hubungan seks sesama jantina, hubungan seks luar tabii dan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Justeru, menerusi langkah memasukkan undang-undang jenayah dalam Jadual Kesembilan Senarai III iaitu Senarai Bersama dengan batasan untuk kesalahan syariah akan menyelesaikan kekangan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, batasan kesalahan dalam ruang lingkup jenayah syariah perlu dijelaskan agar tidak timbul sebarang polemik dan salah faham.

Pada masa sama, ABIM turut menyarankan usaha penambahbaikan urusan merangkumi pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang syariah perlu dipertingkatkan.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *