Press "Enter" to skip to content

Kerajaan peruntuk RM10 juta mudah cara proses pendaftaran taska, galak ibu kembali bekerja

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memudahkan proses pendaftaran dan memperluaskan program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan berkenaan disalurkan adalah untuk menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja seterusnya merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.

“Ia juga dilaksana bagi menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga.

“Sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan,” katanya dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat, pada Khamis.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar penyertaan buruh wanita perlu dipertingkat sehingga mencecah 60 peratus supaya Malaysia lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar penyertaan buruh wanita perlu dipertingkat sehingga 60 peratus supaya Malaysia lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Beritahu beliau, kadar penyertaan buruh wanita masih di tahap rendah iaitu sekitar 55.5 peratus ketimbang lelaki 80.9 peratus dan jurang jantina berkenaan harus ditingkatkan sehingga mencecah 60 peratus.

Pada sama sama, Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperluas jaringan perlindungan sosial dengan tiga tunjang untuk melindungi rakyat sekiranya berlaku hal-hal tidak diingini.

Menurutnya, satu daripada tunjang berkenaan merupakan pencegahan melalui insurans sosial yang mencadangkan agar liputan perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas populasi umur bekerja secara berperingkat mengikut fasa.

“Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk menyediakan 80 peratus geran bagi membiayai caruman Perkeso pekerja gig.

“Bagaimanapun, menurut data KWSP lebih 40 peratus tenaga buruh tidak mendapat perlindungan untuk simpanan,” ujarnya.

Tambah beliau, tunjang kedua pula berkaitan penambahbaikan kemampanan simpanan persaraan bagi memastikan tahap simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan rakyat yang akan menempuh alam persaraan.

Seterusnya, kerajaan akan meneruskan dan menambah baik pelbagai program bantuan tunai dan program Rahmah supaya perlindungan melalui sokongan sosial dapat diberikan.

“Kerajaan juga akan terus mengukuhkan sistem insurans pekerjaan serta program latihan semula bagi menyediakan penganggur dengan pekerjaan selaras dengan peralihan daripada melindungi pekerjaan kepada melindungi pekerja dalam konteks ekonomi yang cepat berubah,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *