Press "Enter" to skip to content

Kerajaan sedia tambah baik hal ehwal Islam di Malaysia – Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan sedia menambah baik hal ehwal Islam di Malaysia agar inklusif dan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada umat Islam malah rahmat kebaikannya boleh dirasai masyarakat bukan Islam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menjunjung kasih atas kesudian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. 

Beliau berkata, mesyuarat MKI berkenaan jelas menzahirkan keprihatinan Tuanku terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini. 

“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-raja. 

“Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuhkan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin. 

Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada ahli MKI dan wakil negeri-negeri yang hadir pada mesyuarat berkenaan. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *