Press "Enter" to skip to content

KKR mohon peruntukan lebih dalam Belanjawan 2024 untuk selenggara lebuh raya, jalan raya

PUTRAJAYA – Menerusi Belanjawan 2024, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan kerja berkala di lebuh raya serta jalan raya di seluruh negara. 

Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, permohonan itu dibuat adalah bertujuan untuk memastikan kualiti lebuh raya dan jalan raya berada pada tahap terbaik serta memenuhi piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, jumlah peruntukan yang diminta pada Belanjawan 2024 adalah melebihi daripada tahun sebelumnya. 

“Kalau daripada apa yang kita mohon mungkin tidak akan dapat 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya peruntukan itu ditambah. 

“Untuk tahun ini kita menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi penyelenggaraan dan kerja berkala tetapi sebenarnya keperluan kita jauh lebih daripada itu mungkin dalam tiga kali ganda jumlahnya untuk pastikan jalan kita pada tahap sepatutnya ikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol secara rasmi di Plaza Tol Loke Yew Lebuhraya Sungai Besi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nanta memberitahu, sehingga kini masih terdapat banyak kerja tertunggak yang tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan.

“Besar harapan kita supaya kita boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan ini dalam usaha menyokong kempen MYjalan KKR. 

“Isu penyelenggaraan ini berkait dengan isu keselamatan pengguna jalan raya, kita kalau boleh nak elak kemalangan yang boleh meragut nyawa apatah lagi jika ia berpunca daripada permukaan jalan yang rosak, berlubang atau sebagainya,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *