Press "Enter" to skip to content

Konsep Rahmah diperluas bina inisiatif baharu bantu rakyat – Ahli akademik

PUTRAJAYA – Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta yang diluluskan kerajaan bagi memperluas konsep Rahmah mampu mencambah pelbagai inisiatif baharu dalam usaha membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata ia sekali gus memberikan manfaat kepada setiap lapisan masyarakat khususnya di luar bandar.

“Konsep Rahmah ini memberi kesan yang positif terutama kepada kumpulan B40 dan M40 kerana bagi saya tidak ada pengkelasan atau diskriminasi kepada sesiapa atau kumpulan mana pun untuk mendapatkan Menu Rahmah ataupun barangan keperluan dengan harga Rahmah.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub

“Saya menyokong usaha konsep Rahmah ini dan bagi saya, konsep ini perlu diperluaskan misalnya peralatan sekolah atau yuran (pengajian) universiti bukan sekadar Menu Rahmah atau barangan keperluan harian,” katanya kepada media tempatan baru-baru ini.

Ahad lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan itu membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan rakyat di setiap Dewan Udangan Negeri (DUN) seluruh negara mendapat manfaat daripada konsep berkenaan.

Antara inisiatif di bawah Payung Rahmah yang diusahakan KPDN adalah Jualan Rahmah iaitu program jualan murah sepanjang tahun oleh pasar raya besar dan pasar raya.

Selain itu, inisiatif Bakul Rahmah adalah agihan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan memerlukan manakala program Menu Rahmah merupakan hasil kerjasama strategik dengan pengusaha restoran bagi menawarkan juadah harian pada kadar mampu milik.

Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata tambahan peruntukan bagi meluaskan konsep Rahmah ini dapat memastikan manfaat program itu sampai kepada golongan sasar.

“Bagi saya konsep Rahmah ini harus diteruskan memandangkan ia dapat mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi dan konsep ini harus diteruskan bagi menjaga kebajikan rakyat kerana semua pihak termasuk golongan B40 dan M40 pun terkesan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya skop dan sektor terlibat dalam konsep Rahmah ini diperluaskan serta bersifat lebih menyeluruh supaya beban perbelanjaan rakyat dapat dikurangkan, termasuk penambahan jenis barangan yang ditawarkan dengan harga Rahmah.

Selain itu, beliau berkata kajian pasaran tempatan mengenai punca yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup perlu dilakukan dalam mencari jalan penyelesaian tuntas demi memelihara kebajikan rakyat.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *