Press "Enter" to skip to content

KPM arah sekolah patuh garis panduan ketika jerebu

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan pihak sekolah untuk mematuhi garis panduan yang disediakan susulan negara dilanda jerebu. 

Beliau berkata, mengikut garis panduan sedia ada, segala aktiviti luar tidak boleh dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

“Kita memang dah ada garis panduan dan ia masih kekal, malah kita sering tegaskan garis panduan ini terpakai untuk semua dan mesti dipatuhi untuk elak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas merasmikan Majlis Penutupan Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mendapatkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada sekolah perlu ditutup.

Dalam pada itu, beliau turut memberi maklum balas mengenai isu kekurangan guru. Katanya, ia bersifat sementara dan pihaknya sentiasa melaksanakan unjuran bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan masalah itu dapat ditangani.

“Isu kekurangan guru adalah sementara dan kita baru selesai temu duga untuk pengambilan one-off selain sedang dalam proses pengambilan secara contract of service (COS) (kontrak perkhidmatan), ” jelasnya.

Pada masa sama, Fadhlina memberitahu Program Mahrajan Al-Quran merupakan acara tahunan yang disertai 688 peserta dari sekolah rendah dan menengah. 

Jelasnya, tujuan program itu dilaksanakan adalah untuk membangunkan potensi dan sahsiah pelajar selain meningkatkan keupayaan serta keberanian mereka.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *