Press "Enter" to skip to content

KPT bakal laksana reformasi politeknik dalam memastikan graduan peroleh kadar gaji premium lebih RM4,000 sebulan – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan reformasi terhadap politeknik di bawah kementerian itu bagi memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memperoleh gaji premium iaitu lebih RM4,000 sebulan.

Bagi tujuan itu, Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT akan menjalin hubungan kerjasama yang lebih aktif dengan semua pihak industri selain menyediakan program baharu yang menepati kehendak dan keperluan negara khususnya dalam industri TVET.

Ujar beliau, setakat ini bagi graduan lepasan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) atau Universiti Awam (UA) yang sudah menerima gaji premium itu adalah dalam lingkungan 10 peratus daripada keseluruhan graduan TVET di bawah KPT.

“Bagaimanapun untuk graduan lepasan UA dengan gaji RM2,500 ke atas adalah seramai 38 peratus, iaitu mereka yang mempunyai ijazah.

“Untuk lepasan politeknik, mereka yang terima gaji premium (RM4,000 ke atas), walaupun (mempunyai) diploma ialah 0.9 peratus, tetapi yang RM2,500 ke atas adalah 6.1 peratus.

“Bagi KPT, sekarang sasaran kita bukan sahaja kebolehpasaran graduan, tetapi sasaran kita ialah (untuk graduan TVET mendapat) gaji premium,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai jumlah graduan bidang TVET bagi tempoh 2018 hingga kini, Mohamed Khaled berkata, terdapat seramai 256,901 graduan telah dilahirkan oleh KPT, yang merangkumi 71,825 graduan UA atau MTUN, 139,579 graduan politeknik dan 45,497 graduan kolej komuniti.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang ingin tahu usaha kolaborasi KPT dalam memartabatkan graduan TVET dari segi upah dan gaji memandangkan ia dilihat sangat rendah sehingga menghantui graduan dalam memburu peluang pekerjaan.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *