Press "Enter" to skip to content

Laksana dasar EKONOMI MADANI tepat pada waktu, Malaysia mampu catat pertumbuhan lebih tinggi – Pakar Ekonomi

Mohd Afzanizam

PUTRAJAYA – Sekiranya semua dasar Ekonomi Madani yang diumumkan oleh kerajaan hari ini dapat dilaksanakan tepat pada masanya, tidak mustahil Malaysia berpotensi mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi. 

Memetik laporan media tempatan, pakar ekonomi berpendapat bahawa Ekonomi Madani merupakan rangka ekonomi yang akan menjelaskan mengenai cabaran, sasaran yang perlu negara laksanakan untuk melihat hasilnya. 

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ia merangkumi bidang yang luas antara lainnya tadbir urus, pendigitalan, disiplin fiskal, jaminan makanan dan pendapatan progresif. 

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi yang menggariskan dua fokus utama iaitu menstrukturkan semula ekonomi Malaysia hingga ke tahap menjadi peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Kata Anwar, Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan 5 peratus tahun ini dan seterusnya tidak mustahil untuk mencapai 6.0 peratus melalui pembaharuan.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam memaklumkan, sekiranya semua dasar dapat dilaksanakan tepat pada waktu, maka negara berpotensi mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi. 

“Selain itu, sasaran defisit fiskal sebanyak 3.0 peratus juga dikekalkan dan ia dilihat sebagai sasaran sejagat. Pencapaian sasaran itu agak kritikal kerana ia melibatkan rasionalisasi subsidi dan percukaian perlu dirangka supaya mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, inisiatif berkenaan juga perlu dikemas kini secara berkala kerana ia penting kepada pelabur, perniagaan dan masyarakat yang mana mereka mempunyai keinginan untuk mengetahui kedudukan negara pada masa ini.

Menurutnya, keadaan itu akan membantu mereka membentuk jangkaan munasabah pada hasilnya. 

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam memberitahu bahawa adalah penting bagi memastikan maklumat itu sampai kepada seluruh masyarakat diikuti dengan pelaksanaan yang tepat pada masa.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank, Suhaimi Ilias berpandangan bahawa peluncuran Ekonomi Madani itu dibuat adalah untuk menangani masalah struktur yang dihadapi oleh ekonomi Malaysia. 

Suhaimi berkata, ia termasuklah perangkap pendapatan sederhana, penurunan potensi pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan daya saing global dan menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Menurutnya, Ekonomi Madani menyasarkan untuk meningkatkan purata pertumbuhan ekonomi tahunan Malaysia kepada 5.5 peratus hingga enam peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding purata 4.7 peratus setahun sejak 1998.

“Inisiatif itu juga bertujuan untuk meningkatkan dan menambah baik kedudukan Malaysia dalam kedudukan global dari segi saiz dan kerumitan ekonomi, daya saing, pembangunan manusia dan indeks persepsi rasuah untuk meningkatkan daya tarikan negara bagi menarik pelaburan.

“Ini penting terutamanya dalam mengukuhkan industri dan sektor pertumbuhan sedia ada seperti elektronik, serta menggalakkan bidang pertumbuhan baharu dan pemacu ekonomi masa depan seperti tenaga boleh baharu dan ekonomi digital,” katanya.

Jelas Suhaimi, peluncuran Ekonomi Madani itu secara tidak langsung dapat memastikan rakyat boleh memperoleh manfaat melalui pekerjaan berkualiti dengan tangga gaji yang tinggi serta menambah baik sistem keselamatan sosial dan jaringan keselamatan bagi meningkatkan taraf hidup.

Ekonomi MADANI menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai.

Pertama,  Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; Kedua: Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia; Ketiga: Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025).

Sasaran keempat adalah menaikan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus, Kelima: Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; Keenam: Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan Ketujuh: Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *