Press "Enter" to skip to content

‘Lautan putih’ banjiri Axiata Arena, lebih 16,000 rakyat Malaysia hadiri Himpunan Malaysia bersama Palestin

KUALA LUMPUR – Menerusi gelombangan ‘lautan putih’ di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Selasa, puluhan ribu rakyat Malaysia menyuarakan pendirian negara yang lantang, keras dan konsisten dalam mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin 

Lebih 16,000 rakyat Malaysia pelbagai latar belakang, bangsa dan agama berhimpun pada program bagi menunjukkan sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dan menekan tindakan kejam Israel. 

Meskipun cuaca hujan rintik-rintik, peserta yang hadir dengan memakai baju berwarna serba putih dan mafela bercorakan Palestin tidak mengendahkan keadaan itu dan mula berkumpul di perkarangan stadium sejak 5 petang sebelum dibenarkan masuk ke stadium pada 6.30 petang.

Program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin, diikuti dengan beberapa siri ucapan berkenaan sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara itu oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Kesemua peserta yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin, melaungkan takbir dan perkataan seperti “Hidup Palestin”, “Bebas Palestin” pada himpunan yang bertujuan mempamerkan sokongan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin, selain dapat mengetahui perkembangan terkini konflik di Gaza.

Perhimpunan itu yang dikelolakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Malaysia (GPM) dan Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR) turut melibatkan lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berakhir pada jam 10.30 malam. . 

Pertempuran terkini di Palestin sejak 7 Oktober yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *