KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI merekod kemajuan ketara dalam menyelesaikan pelbagai isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang membabitkan Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan perkara itu ketika sesi taklimat mengenai kedudukan Kerajaan MADANI berhubung Geran Khas Persekutuan untuk Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan usaha pemerkasaan Sabah dipacu melalui Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Setakat ini, sejumlah 13 tuntutan telah berjaya diselesaikan melalui platform berkenaan.
“Antara perkara yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah ialah pemindahan kuasa kawal selia bekalan elektrik serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Sabah,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan juga akan meneruskan peruntukan RM1.2 bilion bagi memastikan kesinambungan bekalan elektrik di negeri itu.
Anwar memaklumkan pengiktirafan turut diberikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Jabatan Air Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Beliau berkata kuasa meluluskan projek Persekutuan bernilai sehingga RM50 juta turut didelegasikan kepada jabatan teknikal berkenaan di Sabah.
Di samping itu, perkara yang diselesaikan termasuk pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan menyokong pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah agar manfaatnya dirasai rakyat negeri berkenaan.
Beliau mengingatkan bahawa Perjanjian Kerjasama Komersial atau Commercial Collaboration Agreement (CCA) bersama Kerajaan Sabah telah ditandatangani pada Disember 2021.
“Melalui CCA, kerajaan berhasrat mempertingkat penyertaan rakyat Sabah dalam industri minyak dan gas di negeri itu,” katanya.
Anwar menjelaskan kerjasama tersebut menunjukkan hasil apabila kontraktor minyak dan gas berpangkalan di Sabah berjaya memperolehi projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024.
Beliau turut menyatakan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju membenarkan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum bagi menambah hasil negeri, dengan anggaran sekitar RM2 bilion setahun.
Anwar menekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk menutup semua perkara berbangkit di bawah MA63 yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Komitmen itu turut merangkumi peningkatan kadar Geran Khas Sabah serta penambahan peruntukan tahunan mengurus dan pembangunan demi kesejahteraan negeri.
Beliau menegaskan usaha tersebut diteruskan supaya semua kewajipan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dipenuhi.
Dalam masa sama, kedudukan Geran Khas akan terus ditambah baik seiring keperluan perkhidmatan negeri dan kemampuan fiskal Persekutuan.
“Inilah tekad Kerajaan MADANI, sebagaimana yang kami janjikan,” ujar beliau.
Anwar menambah bahawa pelaksanaan berfasa yang dirangka melalui JKMTPMA63 akan memastikan pemindahan fungsi dan bidang kuasa dilaksanakan dengan teratur.
Beliau menekankan bahawa pengukuhan institusi teknikal negeri akan mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur asas.
Menurutnya, keutamaan diberi kepada bekalan tenaga yang stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Anwar berkata langkah cukai jualan petroleum yang dibenarkan akan mewujudkan ruang fiskal baharu buat negeri itu.
Beliau menyatakan bahawa pembabitan kontraktor tempatan dalam rantaian nilai minyak dan gas perlu terus diperluas.
Perdana Menteri menutup taklimat dengan mengulangi komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat MA63 dirasai secara menyeluruh oleh rakyat Sabah.
Ikuti Kami Di: