Press "Enter" to skip to content

Malaysia bakal jadi negara terbaik di benua Asia sekiranya Kerajaan Perpaduan teruskan mentadbir negara untuk tempoh lima tahun akan datang – Anwar Ibrahim 

BALIK PULAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika Kerajaan Perpaduan yang berteraskan konsep Ekonomi Madani mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang, tidak mustahil Malaysia akan menjadi sebuah negara hebat di rantau Asia. 

Keyakinan itu adalah susulan rekod prestasi kerajaan yang telah membela isu rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk kepimpinan negara sejak November lalu. 

“Baik padi, baik getah, rumah polis, rumah tentera, gaji penjawat awam, nelayan kita cuba tingkatkan pada tahap maksimum dalam tempoh lapan bulan.

“Bayangkan kalau kita boleh perintah lima tahun, insya-Allah saya penuh yakin Malaysia akan jadi hebat sebagai satu negara Asia,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari di gerai Gulai Kalut Hot Stall, di Balik Pulau pada Jumaat. 

Anwar menambah, kerajaan kini dalam pelbagai perancangan untuk rakyat negara ini termasuk membela gaji pekerja swasta dan berjanji akan melaksanakannya tidak lama lagi.

Oleh itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta semua pengundi terutama di kawasan Melayu untuk memberikan sokongan penuh kepada calon-calon gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Sabtu.  

“Saya melihat kawasan Cina nampak teratur, terjamin. Saya hendak kawasan Melayu harus beri sokongan. Saya minta (calon-calon) kerja sebaik mungkin dan insya-Allah, ini amanah yang kita akan pikul untuk membela nasib seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Presiden PKR itu juga berpendapat sebahagian daripada barisan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebagai “mata rabun” kerana mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak melaksanakan sebarang bentuk bantuan mahupun perubahan bagi membantu rakyat negara ini.

Sementara itu, Anwar juga dijadual menerima kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi di Pulau Pinang pada Jumaat  yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *